Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, kementerian sentiasa komited dalam memastikan rakyat mendapat manfaat daripada program seumpama itu.

Langkah penganjuran program jualan berkenaan sekali gus dapat memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan isu kos sara hidup mampu ditangani.

“Program ini tidak terhenti begitu sahaja tetapi kita lihat bagaimana hendak memperkembangkannya bukan hanya untuk musim perayaan sahaja.

“Kita lihat bagaimana hendak mengadakannya lebih kerap iaitu setiap bulan atau beberapa minggu. Ia bukan sahaja melibatkan pihak koperasi sahaja tetapi juga agensi-agensi kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Karnival Jualan Koperasi Aidilfitri 2019 dan Pelancaran Jualan Harga Patut Koperasi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh.

Karnival tersebut menyediakan 42 ruang pameran koperasi yang menjual pelbagai barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri seperti baju Melayu serta kuih-muih.

Jelas Wan Suraya, jualan koperasi seumpama itu membawa perbezaan ketara dari segi harga terutama menerusi pendekatan ‘memotong’ orang tengah dan menyediakan platform bagi unsahawan terus berurusan dengan pembeli.

“Pemotongan ini melibatkan 10 hingga 20 peratus dan apabila ada ‘happy hour’, jarga akan runtuh dan saya rasa ketara besar dari segi harga,” katanya.

- UTUSAN ONLINE