Kanak-kanak ini sepatutnya menerima permainan diimpikan itu esok, yang dijadual akan disampaikan Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN).

Izzat Hazim Abdul Kadir namun ‘pergi’ lebih awal sehari apabila menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Paya, Kubor Panjang, Pokok Sena dekat sini, di sisi keluarganya kira-kira pukul 4.30 pagi.

Izzat Hazim menderita penyakit leukimia sejak 2017 dan telah menjalani rawatan kemoterapi sebelum disahkan doktor tiada harapan untuk hidup pada 11 April lalu.

Menurut ibunya, Noraini Ibrahim, 34, dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat memenuhi permintaan terakhir anak kedua daripada lima beradik itu untuk ke kedai serbaneka Eco di Pokok Sena, kelmarin.

“Izzat (Hazim) meminta dibelikan sebuah lori mainan. Nampak riang di wajahnya walaupun amat lemah... Dia kemudian letakkan mainan itu di sisinya semasa tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Turut hadir menziarahi keluarga ini bagi mewakili FOCCAN ialah Ahli Jawatan Kuasa persatuan itu, Mohd. Kamarulnizam Ismail.

Noraini ditemani suaminya, Abdul Kadir Mehat, 40, yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan untuk menjaga anaknya itu.

Menceritakan saat-saat akhir Izzat Hazim, Noraini berkata, anaknya itu meracau-racau pada beberapa malam lalu yang dipercayai akibat sel-sel kanser yang sudah merebak.

Katanya, perut dan muka anaknya itu juga turut mengalami bengkak-bengkak.

“Keadaannya juga lemah dan tidak lagi berselera untuk makan. Kami sekeluarga pasrah dan menerima takdir ini dengan hati terbuka,” katanya. - UTUSAN ONLINE