Menurut kenyataan BJ Wolfpack Archery Club Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong dan SMK Shah Alam, persaingan dari 29 Mac hingga 31 Mac akan melibatkan kategori umur bawah 12, 10 dan 8 tahun.

Kategori pertandingan bawah 18 dan 15 tahun pula dijadualkan dari 5 hingga 7 April depan di lokasi sama.

“Dianggarkan seramai 600 hingga 700 orang pemanah terdiri daripada 80 hingga 90 pasukan akan mengambil bahagian,” menurut satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kejohanan BJ Wolfpack Cup kebiasaannya menjadi medan persediaan para pemanah sebelum ke pentas pertandingan lebih besar.

Pemenang pada Edisi kejohanan di SMK Shah Alam pada 2017 turut menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh dan meraih pingat.

Menurut kenyataan itu lagi, setiap pemanah dalam kejohanan itu nanti akan menjalani pusingan kelayakan. Mereka akan melepaskan 72 anak panah mengikut jarak kategori umur masing-masing.

Pemanah yang berjaya mengumpulkan markah tertinggi akan menduduki kedudukan pertama. Kedudukan akan ditentukan mengikut jumlah pungutan mata.

Pemanah yang menduduki kedudukan 32 teratas akan layak ke pusingan penyingkiran.

“Kejohanan itu juga mempertandingkan kategori berpasukan. Juara keseluruhan akan memenangi piala pusingan serta wang tunai,” menurut kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE