Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, Mazlan Jikran berkata, lapan sekeluarga yang ditahan itu ialah seorang bapa berusia 59 tahun bersama tiga anaknya iaitu seorang wanita serta dua lelaki masing-masing berusia 25, 26 dan 29 tahun.

“Turut ditahan ialah menantu lelaki berusia 26 tahun, dua anak saudara masing-masing wanita dan lelaki berusia 27 dan 33 tahun serta adik kepada bapa keluarga tersebut yang berusia 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sambil menyatakan operasi bermula 10.30 malam semalam hingga 4 pagi tadi.

Mazlan berkata, secara keseluruhan daripada 27 individu yang ditahan, seramai 23 orang ialah lelaki serta empat wanita yang berumur dari 13 hingga 60 tahun termasuk seorang warga asing Indonesia dengan lokasi kawasan operasi di Taman Desa Senadin dan Kampung Wireless.

Menurutnya lagi, kesemua disiasat dibawah seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan untuk warga asing tersebut melibatkan seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63. - BERNAMA