Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, Menteri Kabinet tidak boleh berbeza pendirian mereka dengan Perdana Menteri dalam hal berkaitan dasar negara terutama selepas diputuskan oleh kerajaan melalui Kabinet.

Malah jelasnya, ia juga selari dengan Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang Menteri Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat daripada Perdana Menteri.

Katanya lagi, tindakan tersebut adalah suatu pelanggaran konsep tanggungjawab bersama (ministerial responsibility) malahan dianggap suatu keingkaran (insubordination).

“Kesan tindakan itu akan menimbulkan suasana huru-hara dan ketidakstabilan negara dan kesannya akan terbeban kepada seluruh rakyat jelata,” katanya memetik laporan portal Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, menurut Takiyuddin, sekiranya Perdana Menteri mendapati terdapat Menteri Kabinet yang seringkali bertindak bercanggah dengan dasar yang dibawa, Pas berpandangan Perdana Menteri perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan menteri berkenaan berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN ONLINE