Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, kemampuan MFL kini kian diragui apabila menilai kelewatan pengagihan geran kewangan tahunan kepada pasukan-pasukan dan penjadualan perlawanan yang kerap berubah dan bercelaru.

“Keberkesanan MFL masih belum terbukti namun jika saya katakan MFL sudah gagal, itu mungkin terlampau drastik.

“Inilah masalah yang sama dan berlarutan (kewangan dan jadual perlawanan) sebelum MFL ditubuhkan dan ambil alih Liga M daripada FAM namun masih gagal ditanganinya dengan berkesan,” katanya di ibu kota, semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris menegaskan, “Liga M yang berjalan sekarang di bawah kendalian MFL masih tidak berlangsung lebih baik berbanding ketika dikendalikan FAM.

“Liga M dulu dan sekarang sama sahaja, tiada peningkatan.

“Malah ekoran penarikan diri penaja utama Liga M (TM), MFL sepatutnya telah bersedia sepenuhnya dan mempunyai alternatif atau sumber penajaan lain,” katanya.

“Apabila menswastakan liga, kita perlu tanya kembali siapa dalam MFL dan adakah organisasi ini telah terbukti dan teruji mengendalikan liga profesional.

“Mungkin ada seorang dua sahaja yang berpengalaman bekerja dalam FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan perkara ini saya tujukan secara menyeluruh kepada MFL,” katanya. -UTUSAN ONLINE