Fekir yang hampir menyertai Liverpool menjelang musim 2018/19 sebelum rundingan menemui kegagalan ekoran kebimbangan kelab Liga Perdana Inggeris itu terhadap isu kecederaan lutut pemain berkenaan, pernah dikaitkan bakal meninggalkan Lyon.

Kelab gergasi Liga Perdana yang juga finalis Liga Juara-Juara, Liverpool dilaporkan bersedia untuk mengadakan rundingan kembali bagi mendapatkan khidmat pemain tengah antarabangsa Perancis itu.

Reds hampir menandatangani pemain perancang itu, musim panas lalu, tetapi usaha tersebut terkandas pada saat-saat akhir.

Pemenang Piala Dunia, Fekir yang masih memiliki kontrak bersama Lyon sehingga 2020 dan menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan, musim ini, telah diberikan kebenaran untuk meninggalkan kelab zaman remajanya, Lyon, di mana pemain berusia 25 tahun itu melakukan penampilan sulung pada 2013.

“Secara efektif, Nabil boleh meninggalkan kelab kerana kami mempunyai persefahaman bahawa dia boleh pergi. Terima kasih kepada Nabil di atas sumbangannya selama ini, kami telah mencapai persetujuan untuk membiarkan dia melangkah pergi,” kata Aulas selepas Lyon melakar kemenangan 3-2 ke atas Nimes, hari ini.

Fekir telah melakukan 192 penampilan bersama kelab itu dan menjaringkan 69 gol dalam semua pertandingan sepanjang dia bersama Lyon. Dalam masa sama, pemain itu yang turut dilantik sebagai kapten pasukan turut mencatat 21 caps bersama skuad kebangsaan Perancis. - AGENSI