Keputusan itu dibuat Hakim Ainul Shahrin Mohamad selepas mangsa yang tampil sebagai saksi kelima tidak mahu meneruskan perbicaraan dan meminta kes berkenaan diselesaikan secara baik antara kedua belah pihak.

Perbicaraan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, menampilkan lima orang saksi pendakwaan iaitu Pengurus DSSK Buskers, Azhar Hassan, 49; isteri anggota kumpulan berkenaan, Junaira Mohd. Nasir, 26; pegawai polis Cawangan Khas, Inspektor Nor Zuki Husin; Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Fatah Abdullah dan mangsa sendiri.

Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail manakala Shahidan diwakili peguam bela Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahma Zakwan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Syed Muhammad ketika ditemui berkata, mahkamah hari ini menggugurkan kes dan jaminan dipulangkan.

“Mangsa yang dipanggil sebagai saksi kelima meminta kes tidak diteruskan dan diselesaikan secara baik,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bekas Menteri Besar Perlis itu didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.- UTUSAN ONLINE