Ketua Pegawai Operasi Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Digital Economy Corporation, Datuk Ng Wan Peng berkata dari segi teknologi, Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding negara-negara membangun yang lain.

“Kita mempunyai akses yang sama kepada teknologi. Kita mempunyai Kecerdasan Buatan, Analisis Data, Internet of Things, kita juga menggunakan awan (pengkomputeran).

“Cuma kelajuan dari segi mengguna pakainya perlahan berbanding beberapa negara membangun,” katanya kepada Bernama sempena Malaysia Tech Week hari ini.

Beliau berkata fintech Islam hanya perbankan biasa dengan prinsip yang patuh syariah, dijalankan di platform digital atau dalam talian.

Malaysia telah mempunyai pakar dalam fintech Islam, katanya, sambil menambah terdapat juga pengguna perbankan Islam yang mencukupi di Malaysia bagi institusi kewangan menguji idea fintech mereka.

“Kita sudah tahu apa yang kita perlukan, kita hanya perlu mempercepatkannya,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dan institusi kewangan akan terus mewujudkan kesedaran dan berkongsi pengetahuan mereka mengenai fintech Islam dengan orang ramai.

“Pengguna produk kewangan Islam di Malaysia bukan hanya orang Islam, tetapi juga yang bukan Islam.

“Mereka (institusi kewangan) perlu lebih progresif dari segi memahami keperluan pengguna, dan jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan mengeluarkan produk yang tidak dikehendaki oleh orang ramai,” katanya. - BERNAMA