Koordinator Mentari, Muhammad Ferhad Azuar berkata, kejohanan sehari disertai empat pasukan sekolah dan empat pasukan kelab itu diadakan bermula pada 8 pagi hingga 1 petang di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail.

Empat pasukan sekolah yang menyertai kejohahan itu adalah dari SMK Seri Pulai Perdana, SMK Sultan Ismail, SMK (P) Sultan Ibrahim, SMK Bukit Batu dan empat pasukan kelab, Mentari Johor Touch Rugby, Uda Rugby, Panthers dan SBRC Orchids.

Menurutnya, objektif penganjuran itu antara lain adalah untuk memberi peluang golongan remaja perempuan terdiri daripada pelajar sekolah mahu pun penuntut institusi pengajian tinggi menunjukkan bakat mereka dalam sukan ragbi sentuh.

“Penganjuran program seumpama itu juga sejajar dengan usaha Mentari Johor yang mahu menyediakan satu platform untuk pelajar perempuan terutamanya supaya menjadi contoh kepada rakan sebaya dan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk aktif bersukan,” katanya dalam ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Mentari Johor, Muhammad Ferhad berkata, NGO itu baharu sahaja ditubuhkan dan ia adalah sebuah kelab yang diinspirasikan khas untuk golongan remaja perempuan sejajar usaha membantu mereka menyerlahkan lagi bakat masing-masing dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, Mentari Johor juga menyediakan platform kepada golongan itu untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat memupuk semangat bekerjasama antara mereka dan pihak yang berminat menjalankan program bersama-sama Mentari Johor.- UTUSAN ONLINE