Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam kenyataan juga mahu Rusia memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat seperti yang termaktub dalam Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Ujarnya, penemuan pasukan penyiasat bebas yang diumumkan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT), semalam penting dalam menyediakan jawapan di mana senjata digunakan bagi menjatuhkan pesawat tersebut dan siapa mengorganisasi operasi.

“Suspek utama telah dinamakan yang mana mereka merupakan ejen dan bekas ejen pasukan khas Rusia serta penduduk Ukraine. Penyiasatan bagaimanapun masih belum menetapkan peranan yang dimainkan oleh Sergey Aksionov, iaitu individu digelar Presiden Crimean serta beberapa pegawai berpangkat tinggi dalam perlakuan jenayah itu.

“Ukraine mahu menegaskan bahawa fakta pendakwaan suspek dalam kes penembakan MH17 adalah berkaitan rapat dengan Rusia sebagai negara bertanggungjawab yang telah melanggar beberapa konvensyen sehingga memungkinkan jenayah berlaku,” katanya di sini hari ini.

Kedutaan berkenaan menjelaskan di antara kesalahan yang dilakukan oleh Rusia adalah pelanggaran Konvensyen Antarabangsa untuk Penindasan Pembiayaan Keganasan yang menjadi subjek Ukraine terhadap Moscow di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, JIT yang diwujudkan oleh Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine mengetuai penyiasatan itu sejak Rusia menggunakan kuasa veto draf Resolusi UNSC.

“Sepanjang JIT bertugas Rusia diberikan banyak peluang membantu pasukan penyiasat antarabangsa namun apa yang berlaku mereka cuba menghalang dan memanipulasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE