Difahamkan, sembilan pelajar terbabit yang berusia dalam lingkungan 12 tahun dipaksa suspek untuk melakukan perbuatan tidak senonoh bagi mengikut kehendak nafsu songsangnya.

Sumber memberitahu, kejadian itu didedahkan beberapa tenaga pengajar di pusat tahfiz berkenaan.

“Semua pelajar terbabit telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk rakaman ketererangan bagi membantu siasatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Perbuatan tidak bermoral pemilik pusat tahfiz itu didedahkan mangsa kepada tenaga pengajar di pusat berkenaan,” katanya.

Selain itu tambah sumber, ada antara mangsa mendakwa pernah dibawa suspek ke beberapa hotel penginapan di Bukit Bintang dan Chow Kit untuk memenuhi nafsu songsangnya.

Bagaimanapun susulan laporan yang dilakukan, pihak polis bertindak menahan suspek terbabit dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan atas jenayah liwat dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul.

“Suspek bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan menunggu masa untuk pendakwaan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa mengesahkan kejadian tersebut namun enggan mengulas lanjut dan menambah, satu kenyataan media akan di keluarkan dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, suspek lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis dan akan didakwa pada Oktober ini. – UTUSAN ONLINE