Mereka perlu disantuni dengan sebaik mungkin. Sumber yang selama ini mereka guna untuk menjalani kehidupan seharian telah hilang disebabkan bencana alam atau peperangan.

Justeru, tidak hairanlah apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan tempatan, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengumumkan usaha untuk mengumpul dana sebanyak RM3.5 juta pada tahun ini bagi menyantuni mangsa berkenaan.

Menurut Pegawai Besar Operasi MyCare, Roha Hassan, dana sebanyak itu diperlukan bagi menyediakan keperluan harian khusus anak-anak yatim di beberapa negara bergolak, termasuk Myanmar, Palestin, Syria dan Iraq.

“Keperluan harian ini termasuk makanan, perbelanjaan sekolah serta pakaian mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program lawatan kira-kira 50 anak yatim Rohingya di Pusat Aquaria, KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Anak yatim tersebut adalah dari Pusat Tahfiz Al-Amin Serdang, Madrasah Muin Islam Klang, dan juga komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Sejak 2010, MyCare telah menyalurkan bantuan RM14,696,787 bagi projek anak yatim di negara-negara bergolak tersebut.

Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad (akuan Maybank - 5515 7500 4299, Bank Islam - 1209 20100 34904 atau CIMB - 8602 135 592).

Mengulas lanjut, Roha memberitahu, berjuta kanak-kanak di seluruh dunia menjadi yatim disebabkan oleh peperangan, kebuluran, penyakit dan bencana alam.

Tambahnya, ada antara mereka tidak hanya kehilangan ibu atau bapa, malah seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata akibat bencana tersebut.

“Hidup mereka tak seperti orang lain, seringkali merasa sunyi, tiada tempat bergantung, tiada kasih sayang yang ingin dicurahkan dan adakalanya merasa sendirian tanpa ibu bapa yang suatu masa dahulu tempat meraih perhatian dan kasih sayang.

“Lebih menyayat hati, mereka ini tiada bekalan makanan dan minuman untuk dinikmati, terpaksa berkongsi atau berpuasa untuk menahan lapar”, katanya.

Menyentuh lawatan sambil belajar itu, Roha berkata, ia antara pengisian sempena kempen ‘Bulan Anak Yatim MyCare’ yang diadakan setiap tahun sepanjang bulan Mac.

“Program ini adalah inisiatif meraikan anak yatim di bawah Penajaan Anak Yatim MyCare dan diharap mampu menggembirakan mereka, selain dapat menikmati kasih sayang seperti orang lain.

“Anak yatim yang dibawa berusia antara tujuh hingga 16 tahun dan kebanyakan mereka fasih bahasa Melayu,” katanya. - UTUSAN ONLINE