Ozil dan Kolasinac menjadi mangsa kepada cubaan rompakan kereta di London bulan lalu.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Kolasinac keluar daripada kenderaan untuk berdepan perompak yang bersenjatakan pisau manakala Ozil berada di dalam kereta bersama isterinya, Amine Gulse.

Ekoran perkara tersebut, Arsenal membuat keputusan dengan merehatkan dua pemain itu untuk perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris di Newcastle bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, Emery mengesahkan kedua-dua pemain itu sudah kembali menjalani latihan dan boleh diturunkan menentang Burnley.

“Ya, 100 peratus,” kata pengendali dari Sepanyol itu apabila ditanya sama ada Ozil dan Kolasinac sedia beraksi.

Tambahnya, kedua-dua pemain itu telah bersedia sepenuhnya untuk bersama pasukan.

“Mentaliti mereka tertumpu kepada kami, untuk latihan dan perlawanan.Fokus saya ialah untuk menjadi positif dan merasakan pemain-pemain sudah 100 peratus bersedia,"ujarnya.

Polis mengesahkan dua lelaki telah didakwa setelah dipercayai terlibat dengan insiden rompakan tersebut.

Menurut laporan mereka ditangkap selepas bertengkar dengan pegawai keselamatan di kediaman Ozil. – AFP