Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan khas berkenaan akan dianggotai oleh empat kementerian dan juga tujuh agensi bagi melakukan operasi secara menyeluruh bagi menangani isu tersebut.

Beliau berkata, pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam di perairan negara memberi kesan terhadap nelayan tempatan terutamanya dalam soal pendapatan dan ianya perlu dibanteras dengan segera.

“Sebanyak empat kementerian dan tujuh agensi yang terlibat akan mengatur segala operasi dengan segera dan diharapkan, tindakan yang diambil itu dapat membanteras segala isu pencerobohan di perairan negara.

“Sebelum ini, memang ada penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Namun, ketika ini pencerobohan semakin meningkat kerana musim sotong,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Empat kementerian yang terbabit dalam pasukan khas itu ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Tujuh agensi pula ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Muhyiddin, beliau berharap penubuhan pasukan khas itu secara keseluruhannya akan dapat memobilisasikan aset iaitu kapal-kapal dalam agensi berkaitan secara lebih tersusun sampai ke peringkat pencerobohan tidak berlaku lagi.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam sidang akhbar yang sama berkata, negara kehilangan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.

“Isu ini dibincangkan dalam kabinet ekoran aduan nelayan tempatan khususnya di pantai timur kerana berdepan ancaman nelayan asing. Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 53 kapal nelayan asing telah ditahan dan disita.

“Ingin ditegaskan, kementerian saya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada pihak asing. Mungkin berlaku penyelewengan kerana mereka ada menggunakan lesen-lesen tertentu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Menteri Pertanian ASEAN pada Oktober tahun lalu dan diharapkan negara berkenaan turut memainkan peranan.-UTUSAN ONLINE