Shahril Ridza Ridzuan: Kita tak boleh nak dedahkan sangat sebab kami telah terbabit dalam perbincangan dengan semua pihak dan turut menandatangani perjanjian kerahsiaan. Mereka mungkin juga tak nak dihebohkan siapa mereka. Kalau anda tengok kita tidak meng­umumkan siapa yang berminat itu. Yang dah mengumumkan hasrat adalah mereka sendiri. Terpulang kepada mereka. Kami akan tetap menjaga ke­rahsiaan mereka dan tidak akan menghebahkan kecuali mereka yang hebahkan sendiri.

Apakah status perbincangan buat masa ini?

Dari segi perbincangan, ia amat menarik sebab selain daripada pihak syarikat tempatan, ada juga syarikat penerbangan antarabangsa yang bertemu dengan kita dan MAS. Mereka ada pendapat yang berlainan.

Mungkin kita patut lihat ke belakang sedikit. Apa isu de­ngan MAS atau industri pe­nerbangan di Malaysia. Kalau kita lihat industri penerba­ngan, Malaysia ada 30 juta penduduk tetapi ada empat syarikat pe­nerbangan. Kita ada Malaysia Airlines, Malindo Air, AirAsia dan AirAsia X. Jika dilihat dari segi keuntungan, industri secara keseluruhan memang tak beri keuntungan sangat. Kese­luruhan industri memang tak untung. MAS rugi, AirAsia X pun rugi jika kita tengok laporan kewangan yang diterbitkan. Malindo Air pun saya fikir tidak mencatat keuntungan.

Kita sudah semakin ba­nyak penerbangan dari Kuala Lumpur ke mana-mana destinasi rantau ini. Penawaran ba­nyak tetapi bilangan penumpang masih sama. Jadi mereka terpaksa menurunkan harga tiket untuk mengisi kerusi yang ada.

Kos sudah jadi kompetitif. Masalahnya dari segi pula­ngan dan harga. Mereka tidak boleh menaikkan harga sebab orang tidak akan bayar untuk tiket mahal sebab ada alternatif lebih murah. Ia menjadi murah untuk kesemua syarikat penerbangan dan kesemua mereka rugi di Malaysia. Ini adalah satu yang tidak mapan, tidak munasabah. Setakat ini, kerajaan menerusi Khazanah atau kerajaan secara terus telah menampung Malaysia Airlines lebih RM20 bilion.

Suntikan sebanyak RM20 bilion itu sejak bila? Adakah ia termasuk dalam bail out RM6 bilion?

Sejak 15 tahun yang lalu. Ia merangkumi menyelamat, penya­luran tunai yang konsis­ten sebab industri sendiri tidak stabil. Dari segi tabiat pengguna sekarang telah memilih kepada yang murah. Macam saya kalau nak terbang ke Pulau Pinang untuk cuti dengan keluarga, saya akan buka empat laman web iaitu Malindo, Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly untuk melihat mana yang pa­ling murah. Saya akan pilih paling murah. Pengguna syarikat penerbangan kini sudah tiada kesetiaan jenama. Pengguna macam saya dan anda sudah tidak kisah. Terutamanya penerbangan yang kurang dari 4 jam, kualiti sudah tidak menjadi isu, tetapi harga yang jadi pen­ting.

Jika begitu apa yang berlaku pada MAS bukanlah salah pengurusan, tetapi disebabkan keadaan industri semasa?

Jika kita lihat apa yang terjadi pada Malaysia Airlines, kita telah beberapa kali menukar pengurusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO). Itu bukanlah isu pengurusan. Anda boleh mempunyai pengurusan yang baik tetapi kalau struktur industri sudah jatuh, sesiapa yang diletakkan pun akan jadi begitu. Saya fikir anda akan faham, anda dalam industri media. Perniagaan media menurun untuk akhbar dan televisyen. Oleh kerana itu selagi faktor luaran berubah dengan pantas, anda sukar untuk memulihkannya. Media pun sama, kos boleh potong tetapi pendapatan jatuh. Isunya bukan kos tapi pendapatan. sama seperti Malaysia Airlines.

Dalam situasi ini, apakah yang perlu dilakukan? Adakah perlu mengamalkan dasar tutup langit?

Ini satu isu falsafah atau polisi. Setakat ini polisi kita menekankan apakah nilai kepada pengguna. Kalau kita memen­tingkan dan menjaga hak-hak pengguna, memang bagus sekarang. Sebenarnya ia adalah masa yang terbaik untuk pengguna di Malaysia sebab tiket penerba­ngan murah. Ini kerana banyak persaingan dalam pasaran. Memang tak logik, tak munasabah. Saya boleh terbang ke KL-Pe­nang kadang-kadang RM50 sahaja, lebih murah daripada bas. Tapi itulah dari segi polisi yang mana kita buka langit untuk persaingan lebih luas jadinya pengguna mendapat faedah. Tetapi syarikat penerbangan semua rugi kerana penawaran yang terlampau banyak.

Kenapa kerajaan seolah-olah seperti tidak senada de­ngan Khazanah, mereka tidak memberi­tahu keadaan industri tetapi hanya menceritakan mengenai MAS sahaja?

Kalau kita nak selesaikan masalah, kena lihat kedua-duanya sekali. Bukan saya nak kata MAS sempurna. MAS pun tak sempurna. Pengurusan semasa melakukan yang terbaik dari segi operasi dan pentadbiran. MAS sekarang telah mencatatkan prestasi operasi yang terbaik, pengurusan masa yang lebih baik, pengendalian bagasi, prestasi pengalaman pe­langgan yang kesemuanya dah meningkat. Tapi peningkatan dari segi kualiti produk, jenama dan servis yang telah pun dicapai MAS tidak mencukupi untuk menaikkan hasil atau harga sebab penawaran banyak sangat dan dari segi tabiat pengguna, mereka menekankan harga le­bih daripada kualiti dan produk.

Datuk bertemu dengan empat pihak itu? Adakah isu utama ialah bagaimana untuk MAS mendapat pulangan?

Tidak. Kesemuanya mestilah pelan komprehensif. Sesiapa nak buat pelaburan dalam MAS kena datang dengan pelan komprehensif. Bukan sahaja menekankan kepada kos tetapi apakah yang boleh dibuat untuk mengubah pendapatan MAS.

Ramai yang seperti kita. Kita pegang MAS dalam hati, sesuatu yang dikaitkan dengan emosi. Tetapi agak lucu dan ia terbukti. Kita beremosi terhadap MAS tetapi tidak mahu bayar lebih. Anda boleh tanya kawan atau keluarga sama ada mereka percaya pada MAS? Semua akan kata ya, mereka kata kita kena jaga MAS, tetapi bila mahu membeli tiket akan cari yang paling murah.

Bila penjualan MAS akan dilakukan?

Insya-Allah, kita nak buat secepat mungkin. Tetapi ia berdasarkan sama ada terdapatnya cadangan yang baik. Kita kena jaga dan tidak mahu berurusan dengan orang yang tidak berjaya menguntungkan MAS. Sebab kalau dia tak berjaya, masalah tu akan berbalik kepada kerajaan. Jadi kita akan tengok dulu. Kita akan terus bersama MAS sehinggalah kita dapat memastikan ada satu cadangan atau pelan yang sangat berkemam­puan untuk berjaya. Kalau tidak apa gunanya kita jual, baik kita teruskan pegang MAS.