Beliau berkata, pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai badan kebajikan dan tuan tanah berdaftar tidak menerima apa-apa keuntungan melainkan untuk membantu penduduk rumah panjang yang telah mendiami kawasan itu sejak 38 tahun lepas.

“Kita dah capai situasi menang-menang bagi semua penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) untuk kecilkan skala pembangunan dan mereka sepatutnya berterima kasih kerana pemaju mengembalikan kebanyakan tanah itu kepada TTDI.

“Malangnya mereka (Persatuan Penduduk TTDI) nak kesemua 25 ekar (10.1 hektar) termasuk tapak rumah panjang dan kuil yang asal itu. Habis itu penghuni rumah panjang nak duduk di mana?...penduduk TTDI sudah menikmati pembangunan dan duduk rumah cantik-cantik, bagaimana pula nasib penghuni rumah panjang?

“Mereka sudah duduk di situ selama 38 tahun sepatutnya mereka turut dapat hak yang sama, duduk di rumah yang lebih elok daripada sekarang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam 50 tahun Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Khalid menjelaskan, kedudukannya sebagai menteri dan Pengerusi YWP adalah selaras ketetapan dalam Perlembagaan badan kebajikan itu.

“Ketetapan dalam perlembagaan YWP menyebutkan, bahawa pengerusinya harus Menteri Wilayah Persekutuan. YWP merupakan badan yang lakukan kerja-kerja kebajikan dan saya tidak mempunyai saham atau kepentingan peribadi terhadap mana-mana wang diperoleh YWP. Jadi memang tidak ada isu bila dikatakan ada konflik kepentingan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar dilapor mendakwa terdapat konflik kepentingan Khalid sebagai menteri yang juga pengerusi YWP dalam menyelesaikan isu pembangunan Taman Rimba Kiara.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Keputusan itu mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Isnin lepas, Khalid dilaporkan berkata pemaju projek di Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu

dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium berbanding lapan blok sebelum ini serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang. - BERNAMA