Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang mengumumkan perkara itu berkata, beliau mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Malah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengesahkan projek yang melibatkan kos RM120 juta ini akan diteruskan.

“Ini merupakan satu berita baik setelah dulu kerja-kerja pembinaan kampus UPSI di sini yang melibatkan kos RM120 juta dihentikan untuk kaji semula.

“Malah sebenarnya kerja-kerja pembinaan kampus berkenaan sudah pun bermula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Besar Teluk Intan di sini hari ini.

Menurutnya, kampus UPSI Teluk Intan terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang dan walaupun Pakatan Harapan (PH) kalah di DUN berkenaan, namun kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kawasan.

“PH memenang prinsip mana-mana yang baik kita akan teruskan,” katanya.

Projek pembinaan Kampus UPSI di sini adalah Projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang telah dirancang pada 2011.

Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 2014, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan cawangan UPSI di Teluk Intan. - UTUSAN ONLINE