PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan pengarah penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), menjadikannya individu ke-9 ditahan dalam kes melindungi perniagaan haram dan perjudian di Sungai Buloh setakat ini.

Sumber memberitahu FMT, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM 10 pagi tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok pagi untuk mendapatkan perintah reman.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, 3 lagi anggota penguatkuasa MBSA direman 6 hari kerana disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket perlindungan kendalian anggota penguatkuasa yang mengutip bayaran bulanan daripada perniagaan haram.