Suspek berusia 25 tahun berasal dari Mersing, Johor itu diberkas pukul 1.30 pagi

dan dia tinggal menumpang di rumah saudaranya di sini sambil aktif melakukan jenayah samun dan ragut.

Lelaki penganggur itu dikatakan melakukan jenayah dengan menggunakan modus operandi menunggang motosikalnya dan kemudian melanggar belakang motosikal dinaiki mangsa sebelum meragut beg tangan mangsanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Razmi Mohd. Gunnos berkata, suspek bertindak menghampiri atau melanggar motosikal mangsa dan seterusnya mematikan kunci motosikal lalu menyambar beg tangan dari dalam raga kenderaan itu sebelum melarikan diri.

Katanya, selepas itu suspek akan ke Kampung Pasir Putih di sini untuk mengambil semula barangan berharga yang ditinggalkan di situ manakala barangan lain dicampak ke sungai.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek dikenal pasti terlibat dalam dua kes samun ragut di kawasan itu (Merchang) iaitu pada 11 Mei dan 17 Jun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Marang, Deputi superintenden

Mohd. Suhaimi Ali.

Katanya, dalam kejadian pukul 10.30 pagi 11 Mei lalu, seorang wanita berusia lingkungan 40-an menjadi mangsa apabila motosikal ditungganginya dilanggar motosikal suspek sebelum begnya diragut.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan turut kerugian RM2,300 setelah barangan termasuk wang tunai dilarikan suspek.

Razmi berkata, dalam kejadian kedua pada pukul 10.15 pagi 17 Jun lalu, seorang lagi wanita berumur lingkungan 50-an yang menunggang motosikal sambil diboncengi cucu serta cicitnya berumur tiga bulan turut menjadi mangsa suspek.

Ekoran kejadian itu jelas beliau, mangsa kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan dokumen yang kesemuanya bernilai RM500.

Katanya, sejurus suspek ditangkap, polis turut merampas barang kes termasuk sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - UTUSAN ONLINE