Timbalan Pengerusi Keilmuan Nasional, Mohd. Faizal Zulkifly berkata, ini kerana polisi tersebut merupakan timbal balas kepada keterbukaan kaum bumiputera untuk menerima kaum bukan bumiputera sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu sebelum dikembangkan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Katanya lagi, menerusi persefahaman yang dicapai ketika itu, kaum bumiputera bersetuju menerima kerakyatan kaum bukan bumiputera dan sebagai balasan hak-hak istimewa mereka seperti pekerjaan dalam sektor awam, biasiswa dan tempat di institusi pendidikan awam termasuk matrikulasi mestilah dijamin.

“Keilmuan Nasional membidas pihak-pihak yang mempertikaikan polisi berasaskan kaum dengan mengatakan polisi itu tidak lagi relevan pada masa ini memandangkan peratus pencapaian bumiputera dalam bidang pendidikan yang semakin meningkat.

“Pihak ini juga cuba menangguk di air keruh dengan bertopengkan slogan ‘Malaysia Baharu’ untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan polisi tersebut dan membuka peluang sama rata kepada semua kaum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, walaupun Keilmuan Nasional mengakui kaum bumiputera ketinggalan dalam banyak bidang namun polisi berasaskan kaum ini tidak boleh digubal atas alasan tersebut. - UTUSAN ONLINE