Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak hanya memberikan cadangan nama tetapi keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

Katanya, perbincangan juga telah dibuat bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan senarai nama exco baharu akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Kami di MPN Perak mengharapkan cadangan nama yang diberikan itu dipertimbangkan namun terpulang kepada tuanku untuk memilih barisan exco baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Perdana PKR Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar, Chang Lih Kang dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran.

Farhash mengulas dakwaan pertukaran exco Perak yang mewakili parti itu.

Setakat ini dua exco kerajaan negeri mewakili PKR iaitu ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Menurut Farhash, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana ia akan menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Beliau berkata, ini kerana kedudukan wakil rakyat dalam kerajaan negeri yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai 31 kerusi manakala pembangkang 28 kerusi.

“Seelok-eloknya kami tak mahu nak gegarkan sangat Perak ni, kami juga faham kestabilan kerajaan negeri adalah lebih penting dan kami tak mahu mendesak,” katanya. - UTUSAN ONLINE