Ketika kejadian pada pukul 11 pagi itu, pasukan polis terlibat bertindak hasil maklumat risikan menahan sebuah lori berwarna putih yang kelihatan mencurigakan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sandakan, Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menahan seorang suspek lelaki berumur 50 tahun yang memandu lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam ruang kargo bahagian belakang lori menemukan sebanyak berpuluh tong berisi minyak diesel yang disyaki akan diseludup ke Filipina.

“Pemandu terbabit juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP),” katanya.

Mohamad Pajeri memberitahu, polis bertindak merampas minyak tersebut dan sebuah lori berjenama Dong Feng dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM11,305.00.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE