Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM yang berumur 48 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Turut dibebaskan beserta jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin ialah seorang pengarah urusan syarikat berumur 52 tahun yang sebelum ini turut direman selama lima hari.

Perintah tamat reman dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kedua-dua suspek itu itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal.

Menurut sumber, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala pengarah urusan syarikat pula disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Pada 21 Mac lalu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat SPRM di sini manakala pengarah urusan syarikat ditahan pada pukul 11 malam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM itu didakwa meluluskan kertas untuk pembentangan ahli lembaga pengarah bagi projek berkenaan.

DIfahamkan, kedua-dua suspek didakwa bersuhabat dengan tiga individu yang direman sebelum ini yang disyaki melakukan kegiatan itu sejak 2017.

Pada 19 Mac lalu, tiga lelaki yang terdiri daripada seorang pegawai kanan SSM dan dua pegawai syarikat terkemuka IT direman selama lima hari berhubung kes yang sama. - UTUSAN ONLINE