Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata, keputusan mahkamah terbaharu Mahkamah Persekutuan semalam, perlu dipatuhi kerana dari satu segi ia memperkukuhkan proses demokrasi dalam negara.

Beliau berkata, pilihan raya bersih dan telus menjadi perjuangan Pakatan Harapan dan banyak lagi pihak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu

"Kita perlu hadapi dan terima hakikat akan ada satu lagi PRK (DUN Rantau) dan mungkin dua lagi, ada beberapa kes lagi yang belum selesai.

"Pastinya rakyat letih dengan perkembangan itu tetapi proses undang-undang mesti diteruskan dan kita akan terima apa juga keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-47 Rela peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Semalam Mahkamah Persekutuan membatalkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU-14, seterusnya memerintahkan PRK diadakan.

Mahkamah turut memerintahkan agar petisyen pilihan raya Parlimen Kimanis, Sipitang dan Jasin dibicarakan semula di Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, tidak akan berlaku perebutan kerusi antara parti Pakatan Harapan di Rantau yang dahulu ditandingi PKR.

Mengulas dakwaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad hilang sokongan parti sekutu dalam PH, beliau berkata, beliau percaya kesemua parti dalam PH komited atas sokongan mereka terhadap kepimpinan kerajaan seperti dipersetujui sebelum ini.

"Saya percaya semua parti kekal dengan kesepakatan itu termasuk soal peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Dalam pada itu, ditanya dakwaan Pas tetap menyokong UMNO, Muhyiddin berkata, sukar untuk difahami kerana bagi Pas berbohong itu sunat selagi ia melibatkan kepentingan mereka.

"Saya susah nak faham juga pasal kita dah tahu, bagi Pas ini dia bohong tu macam sunat sahaja, mana boleh bohong ikut kemahuan dia.

"Jadi rakyat nak pegang kata siapa, Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) cakap macam ni, Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan) cakap macam ni, versi mana yang nak pakai. Memang haru-biru bila tak konsisten," katanya. - UTUSAN ONLINE