Atas faktor keselamatan, di beberapa kawasan dan perkampungan tertentu, pemandu yang membawa anggota Misi Kemanusiaan Syria Care 10.0, Abu Ibrahim membawa van merentas jalan-jalan kampung.

Laluannya berlubang, tidak berturap dan berdebu malah ada sebahagian jalan terputus akibat dibom.

Pemandangan muka bumi di Idlib, indah, tetapi konflik sejak lebih lapan tahun sehingga ke hari ini menyakitkan mata betapa perang saudara memusnahkan bumi Syam.

Sebaik melepasi Attarib, kami menggunakan laluan di tepi bukan melalui lebuh raya bertar yang merupakan laluan utama.

Ada sebabnya Abu Ibrahim berbuat begitu, terutama untuk mengelak bahan letupan yang dipasang di bahu jalan dan mungkin juga sebagai persediaan untuk memecut sekiranya kenderaan yang kami naiki menjadi sasaran serangan tentera rejim.

Destinasi kami ada Rif Muhaddisin, iaitu penempatan di pinggir bandar Aleppo untuk menyentuni satu keluarga yang terhimpit akibat perang.

Memasuki persekitaran Rif Muhaddisin jelas tersergam rumah-rumah agam bertaraf villa dengan laman yang luas serta cantik.

Namun, semua bungalo dan villa terbabit terbiar usang. Ada yang rosak di sana-sini akibat kesan tembakan atau serangan bom.

“Rumah dan bungalow ini dulunya milik jeneral, pegawai tinggi regim Bashar al Assad tinggal ketika musim cuti,” kata Amir Fukhairah, rakyat Malaysia yang bermastautin di Atma dan mengabdikan diri dengan kerja-kerja kemanusiaan bersama keluarga.

Semua rumah agam di sini tiada lagi penghuni. Semuanya kosong dan terabai kerana penghuninya melarikan diri darpada perang dan daripada ancaman IS.

Kawasan kejiranan yang dulunya begitu mewah kini sunyi sepi.

Dari sekolah, kem tentera, pejabat kerajaan dan apa sahaja bangunan di sini, ada sahaja kesan tembakan dan pengeboman menjadikannya menjadi bandar berhantu.

Ketika tiba di suatu simpang, dua lelaki dengan menggalas senjata menyambut dan mengarah pemandu mengikuti mereka.

Dalam jarak 400 meter, kami tiba di perkarangan yang menempatkan enam buah villa mewah. Meskipun berlubang sana sini, rumah itu menjadi syurga kepada pelarian.

Di sebalik langsir koyak rabak yang menggantikan pintu, mereka berlindung dari bahang matahari di musim panas dan kesejukan di musim dingin.

Di situ beberapa keluarga menanti ketibaan kami.

Keutamaan Misi Kemanusiaan Syria Care 10.0 di sini adalah bertemu dan menyampaikan sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada Ummu Muhammad, ibu tunggal yang memiliki empat anak perempuan orang kurang upaya (OKU).

Di villa kosong yang ditinggalkan, dia dan keluarganya menjadikan tempat berlindung bersama anak-anak OKU.

Nasib suaminya tidak diketahui, entahkan hidup, entahkan mati kerana ditahan regim sejak lebih lima tahun lalu. Malang sungguh nasibnya.

Untuk terus hidup, Ummu Muhammad terpaksa bergantung harap kepada ihsan dari luar.

Dia bersyukur sejak tahun lepas, Syria Care telah menghulurkan bantuan bulanan dan kunjungan kali ini memberinya harapan masih ada saudara seagama yang prihatin dengan penderitaan yang dilalui pelarian yang senasib dengannya.

Pengusiran IS dari situ membolehkan mereka berlindung di rumah-rumah besar yang ditinggalkan penghuninya.

Namun, risiko tetap ada. Atas keperluan itu, setiap lelakinya memilik senjata. Tetapi ia tidak dapat melindungi mereka semua dari serangan udara rejim dan sekutunya, Rusia.

Anggota misi tidak boleh lama di Rif Muhadisin kerana perlu bergerak segera sebelum lewat petang.

Banyak musibah menanti selepas malam kerana perjalanan pulang juga akan mengambil masa lama dan kawasan kami berada hanya berada 25 kilometer dari bandar Aleppo yang dikuasai rejim.

Dalam pecutan van dengan kehangatan suhu di luar yang mencecah 40 selsius, kami menyaksikan bagaimana konflik mengubah segala lanskap di Syria.

Kawasan penempatan mewah Rif Muhaddisin antara contoh bandar berhantu yang ditinggalkan penghuninya.

Kepada mereka yang ingin membantu pelarian di Syria, sumbangan boleh dibuat melalui Syria Care di akaun berikut:

Maybank: 562106653575, CIMB Islamic: 8601894560, RHB Bank: 26225000021775 dan Affin Islamic Bank: 105990040004. - UTUSAN ONLINE