logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo logo
star Bookmark: Tag Tag Tag Tag Tag
Malaysia

Saman-menyaman tak halang kebebasan bersuara, kata peguam

PETALING JAYA: Budaya saman-menyaman dalam kalangan ahli politik tempatan wajar diterima kerana saman fitnah diwujudkan bagi melindungi reputasi individu, kata peguam.

Siti Kassim berkata, reputasi seseorang mesti dilindungi daripada sebarang serangan yang tidak adil.

Jelasnya, kritikan mengatakan saman fitnah menghalang kebebasan bersuara adalah tidak benar.

Beliau menjelaskan saman fitnah sebenarnya menghendaki persiapan rapi dan mengambil masa kerana mereka yang membuat tuntutan perlu membuktikan penuduh tahu kenyataannya palsu, atau berniat jahat, atau cuai ketika membuat tuduhan itu.

“Membuktikan unsur-unsur ini sahaja boleh menjadi satu cabaran yang hebat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, FMT melaporkan, seorang peguam, Asiah Abd Jalil, mengatakan, zaman ahli politik cenderung melambakkan kes saman fitnah kepada mahkamah sudah patut dihentikan.

Hal ini disebabkan golongan itu sentiasa mempunyai medium untuk tampil mempertahankan diri.

Tambahnya, kes saman fitnah yang dikemukakan oleh ahli politik pernah ditegur oleh hakim mahkamah yang menyifatkan tohmahan dan tuduhan terhadap golongan itu asam garam arena politik.

Siti berkata, jika individu membuat tuduhan berniat jahat terhadap seorang ahli politik atau tokoh awam, individu itu mesti bersedia menghadapi akibatnya.

Katanya, tindakan saman yang dibuat oleh ahli politik bukan untuk menggugat kebebasan bersuara, sebaliknya menghalang seseorang daripada berbohong dan reka cerita terhadap orang lain.

Sementara itu, kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) berkata, saman perlu diambil sekiranya melibatkan tuduhan serius seperti perbuatan jenayah, liwat, maksiat dan pecah amanah.

“Kalau setakat komen, salah faham atau kritikan mengenai isu semasa, walaupun salah, silap atau palsu, tidak perlu disaman,” kata Pengarah Eksekutif Latheefa Koya ketika dihubungi FMT.

Katanya, salah faham dalam kalangan ahli politik tempatan boleh diselesaikan dengan memberikan penjelasan mengikut medium yang sesuai.

Sebelum ini, FMT melaporkan, seorang aktivis menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bersikap seperti budak-budak merengek apabila dikritik seteru politiknya.

Hal ini susulan daripada siasatan polis terhadap bekas ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mempersoalkan kemewahan anak lelaki Lim Guan Eng di hantaran Facebook nya.

Beliau mendakwa jaket yang dipakai oleh anak menteri kewangan itu bernilai RM4,700.

Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan keluarga Lim di tempat duduk kelas ekonomi dalam pesawat. Rata-rata netizen memuji sikap sederhana Lim memilih tambang penerbangan murah walaupun sudah bergelar menteri.

Tetapi, terdapat segelintir pihak yang tidak senang dengan gambar tersebut selepas ternampak jaket yang digayakan oleh anaknya.

Themes
ICO