Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 10 kes dilaporkan berlaku di empat negeri iaitu tujuh kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan sejak 15 September lalu.

Jelas beliau, jumlah kematian masih sama iaitu 29 kes melibatkan 18 kes di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan kes) dan Perak (dua kes).

“Secara keseluruhannya sebanyak 16 pesakit telah didapati stabil dan keluar dari hospital manakala 41 kes masih menerima rawatan di sebelas 11 buah hospital di empat negeri yang terlibat.

“Daripada 41 pesakit yang masih dirawat, 16 pesakit adalah kes kritikal manakala 25 pesakit masih menerima rawatan di wad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, hasil analisis Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) mengesahkan minuman alkohol jenama Grand Royal Whisky dan mandalay Whisky mengandungi metanol masing-masing 169,300 part per milion (ppm) dan 173,600 ppm.

Kata beliau, kedua-dua kandungan tersebut tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Sehingga hari ini, sebanyak 402 buah premis yang menjual arak telah diperiksa, 1,471 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita,” katanya. - UTUSAN ONLINE.

Infografik:

Taburan kes keracunan alkohol mengikut warganegara

Bangladesh

Hidup - 9

Mati - 1

India

Hidup - 2

Mati 1

Myanmar

Hidup - 11

Mati - 10

Nepal

Hidup - 25

Mati - 6

Indonesia

Hidup - 1

Mati - 0

Malaysia

Hidup - 9

Mati - 7

Tidak pasti

Hidup - 0

Mati - 4