Kejadian itu turut mengakibatkan dua rakan sekerjanya iaitu seorang lelaki Bangladesh dan seorang rakyat tempatan tidak sedarkan diri dan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Shahrudi Mohamad Halil berkata, sekumpulan enam anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.40 petang.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, didapati tiga lelaki berusia lingkungan 30-an telah terbaring berdekatan saluran paip gas tersebut setelah dinaikkan oleh orang awam.

“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian bertindak menutup saluran paip gas itu terlebih dahulu sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap tiga mangsa berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Bangladesh tidak memberi sebarang tindak balas manakala dua lagi rakan sekerjanya tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki tersebut disahkan maut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian manakala dua rakannya yang tidak sedarkan diri dirujuk ke HRPB.

Katanya, pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dipanggil ke lokasi kejadian bagi mengesan kandungan gas yang terdapat dalam saluran paip tersebut. - UTUSAN ONLINE