DR. AKMAL SALEH
DR. AKMAL SALEH 

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh berkata, dalam video yang tular, Waytha Moorthy menggambarkan seolah-olah Malaysia sedang menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

“Sebagai menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan antara kaum.

“Kenyataannya juga mampu merobek kesejahteraan hidup rakyat pelbagai kaum di Malaysia yang telah lama terpelihara sekali gus mampu mengundang pelbagai impak negatif antara rakyat negara ini, dan sampai ke saat ini beliau masih lagi tidak menarik semula kenyataan yang dibuat oleh beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Waytha Moorthy didakwa melakukan pembohongan apabila menggambarkan Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau dalam temu bual di luar negara yang menjadi tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Dalam video berdurasi dua minit 39 saat yang dipercayai dirakam pada 2011 itu, Waytha Moorthy mendakwa kerajaan Malaysia melakukan penindasan terhadap kaum minoriti di negara ini dengan merobohkan kuil serta memaksa penganut agama Hindu menukar agama kepada Islam.

Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut di Balai Polis Merlimau pada pukul 5.30 petang tadi. - UTUSAN ONLINE