Bertitah dalam majlis perasmian, Sultan Sharafuddin menasihatkan SPRM supaya kekal menjadi satu badan yang bebas daripada sebarang pengaruh oleh mana-mana pihak termasuk orang-orang politik.

Titah baginda, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain “without fear or favour”.

“Pegawai-pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka untuk menjalankan tugas penyiasatan secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh menganggu penyiasatan mereka.

“Dengan jalan ini, pihak SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membenteras gejala rasuah dan sekaligus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan di dalam menjalankan amanah,” titah baginda.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan baginda disambut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Terdahulu, kompleks baharu SPRM Selangor yang bernilai RM41juta mula dibina pada penghujung Februari 2014 dan diserahkan secara rasmi pada November tahun lalu.

Bangunan yang didirikan dengan tanah berkeluasan 2.9 hektar itu mempunyai enam tingkat blok utama, gudang sita dan blok mekanikal berkenaan direka menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.

Kompleks baharu itu turut dilengkapi dengan kemudahan 12 bilik rakaman percakapan saksi dan tertuduh termasuk tiga bilik yang dilengkapi alat perakam video canggih dikenali bilik temuduga video (VIR), bilik kawad cam, surau, pusat sumber dan gimnasium. - UTUSAN ONLINE