Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim berkata, pembubaran itu tidak berlaku kerana tidak ada ahli UMNO yang bertindak keluar parti secara beramai-ramai akibat kalah dalam PRU tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO negeri berkata, sebaliknya, terdapat ahli baharu yang mendaftar masuk walaupun proses pemutihan keahlian telah dijalankan oleh UMNO bahagian itu.

“Jumlah keahlian tidak berkurangan dan kita kini ada 16,485 ahli di sebalik kekalahan UMNO dalam PRU lalu.

“Perkembangan ini menguatkan tekad dan keazaman ahli UMNO untuk bangkit semula dan meneruskan perjuangan yang telah berakar umbi sejak 1946,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Yang turut hadir Yang Dipertua Pas Kawasan Seremban, Mohd. Fadhli Che Me.

Lebih 400 perwakilan daripada 71 cawangan UMNO dalam bahagian itu hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Mustafa menggariskan lima teras sasaran yang hendak dicapai oleh UMNO bahagian itu iaitu mengaktifkan pusat daerah mengundi, mengaktifkan semua cawangan, menambah keahlian, program bersama Pas dan media sosial sebagai platform menarik sokongan golongan muda.

Dalam ucapan itu juga, beliau memberitahu, UMNO bahagian itu menyokong kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sedia ada dalam memastikan keutuhan parti.

“Saya percaya walaupun berdepan dengan asakan daripada pelbagai sudut, kebijaksanaan kedua-dua pemimpin akan dapat menangani segala rintangan dan cabaran,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE