Beliau berkata, ini kerana orang bukan Islam bukan sahaja tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam malah mereka akan cenderung memberi pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri semata-mata.

“Perkara ini bercanggah kerana mengikut tradisi dan falsafah Pendidikan Islam, ia adalah bersumberkan hukum daripada al-Quran dan as-sunnah serta sumber-sumber yang disepakati oleh para ulama.

“Oleh itu, jika penglibatan orang bukan Islam dalam cadangan penambahbaikan tersebut dibenarkan, dikhuatiri ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Harussani, beliau menyokong segala usaha kerajaan untuk menambah baik sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam namun usaha tersebut mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran sedia ada.

Malah katanya, beliau sangat menghargai usaha murni bagi menambah baik bukan sahaja mata pelajaran Pendidikan Islam malah mata pelajaran lain yang kajian mengenainya dijalankan oleh ahli yang berkelayakan.

“Usaha penambahbaikan ini juga tidak hanya menumpukan kepada mata pelajaran Pendidikan Islam malah mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain turut perlu dilakukan.

“Ini supaya pelajar berbilang kaum mendapat kefahaman yang maksimum sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara dan memupuk perpaduan nasional.

“Bagaimanapun, kajian tersebut biarlah dijalankan oleh ahli yang berkelayakan,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebelum ini dilaporkan mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. - UTUSAN ONLINE