Produk terapeutik yang dihasilkan itu adalah berasaskan sel stem mesenkima alogenik yang diperoleh daripada talipusat iaitu Chondrogen berdaftar dengan Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Kaedah rawatan itu merupakan hasil penyelidikan bersama pasukan pakar Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM yang diketuai Ketua Unit Arthroskopi dan Kecederaan Sukan, Datuk Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff dengan kerjasama Melua Life Sciences Sdn. Bhd. (MLS).

UKM dalam satu kenyataan memberitahu, kaedah rawatan tidak lagi memerlukan pesakit menjalani pembedahan arthroskopi atau pengambilan darah atau sum-sum tulang pelvis sebaliknya hanya menjalani suntikan lutut melalui bius setempat.

"10 pesakit yang mengalami masalah osteorthritis lutut sudahpun menggunakan produk terapeutik itu bermula pada Januari lalu.

"Analisa dan rawatan susulan kajikan klinikal dijangka selesai pada hujung 2019 tetapi penelitian awal selama enam hingga 12 minggu yang dilaporkan kepada Jawatan Kuasa Penyelidikan dan Etika UKM pada April lalu menunjukkan kesan positif seawal dua minggu tanpa kesan sampingan ketara," katanya.

Bagi mengembangkan penggunaan produk terapeutik berkenaan, HCTM dijangka menjadi hub penyelidikan klinikal dan juga rawatan eksperimental sel stem apabila UKM menjadi pemilik bersama paten produk Chondrogen. - UTUSAN ONLINE