Abe Jali Salam atau nama sebenarnya, Mohd Idris Berahim terkenal melalui sitkom ‘Salam Pantai Timur’ sekitar tahun 2007 dan kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan beliau kini hidup dalam serba kekurangan bersama ibunya, Mek Nab Samad, 80, yang juga uzur.

Kehidupan Abe Jali dilaporkan semakin teruk selepas kaki kanannya dipotong pada tahun lepas akibat kencing manis sebelum dikatakan ditinggalkan isterinya.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, program gotong-royong bermula pada sebelah pagi ini sehingga tengahari ini bagi membersihkan dan menceriakan rumah Abe Jali Salam.

“Kita mencuci seluruh rumah dan segala perkakas termasuk pinggan mangkuk.

“Kita juga memasang tikar getah selain menukar bantal dan selimut yang baru serta memasang langsir rumahnya. Kawasan keliling rumah juga dibersihkan,” katanya menerusi status akaun Facebook miliknya hari ini.

Annuar berkata, program gotong-royong itu juga adalah sebagai tanda ingatan dan persahabatan antara Abe Jali Salam dengan UMNO Bahagian Ketereh.

“Semoga Abe Jali Salam dapat melalui Ramadan dengan lebih ceria dan gembira serta dapat beribadat kepada Allah SWT dalam keadaan lebih sempurna,” katanya. - UTUSAN ONLINE