Malaysia

Umno percaya ahli Parlimen masih setia selepas jumpa Azmin

PETALING JAYA: Umno percaya kumpulan ahli Parlimennya yang menyertai pertemuan “sulit” Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di kediamannya Isnin lalu masih setia pada parti.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa cuba menafikan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kumpulan tersebut mengadu Umno sudah hilang arah.

“Saya yakin 16 ahli Parlimen BN yang diundang ke rumah Azmin baru-baru ini adalah anggota parti yang setia. Sebahagian dari mereka yang pergi ada memaklumkan kepada saya sebelum mereka pergi.

“Azmin atur pertemuan itu, menggunakannya untuk membodek perdana menteri sebagai langkah menyelamatkan dirinya,” kata Annuar di Twitter hari ini.

Pertemuan dengan Azmin itu, yang dikatakan “hanya makan malam” oleh satu sumber, dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan sekitar 20 ahli Parlimen BN, menurut sumber-sumber yang dekat dengan FMT.

Pertemuan itu diatur disebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Mahathir berundur.

Pengulas politik menyeru Mahathir memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 2018, selepas kekalahan besar PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Mahathir di satu majlis di Bangi hari ini mendedahkan penjelasan Azmin kepada pemberita.

“Saya tanya Azmin apa yang dia bincang, dia kata orang Umno ini (kata) mereka sudah hilang parti, tidak tahu hendak buat apa. Jadi, mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.

“Ada yang buat kenyataan mereka sokong kepimpinan Mahathir,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan ahli Parlimen Umno hari ini tampil menjelaskan isi perbincangan dengan Azmin malam itu.

Menurut kenyataan itu, yang ditandatangani 7 ahli Parlimen Umno, perbincangan berhubung “usaha pembangunan” di kawasan masing-masing termasuk pembinaan prasarana seperti masjid dan balai raya.

Mereka menafikan sekeras-kerasnya pendedahan Mahathir itu.

“Tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut,” kata kenyataan itu.

“Selain itu, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, kami turut mengajak Azmin untuk masuk Umno, kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan Umno dan BN,” tambah mereka.

Kenyataan ditandatangani Ahli Parlimen Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Salim Sharif (Jempol), Jalaluddin alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Azalina Othman Said (Pengerang), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).