Pengarah Eksekutif Kumpulan Weststar, Datuk Vikram Menon berkata, pasaran harga minyak buat masa ini berada dalam keadaan yang sangat baik.

“Memang berada dalam perancangan Weststar untuk meneroka perkhidmatan penerbangan helikopter dengan keadaan harga minyak yang semakin baik kini.

“Buat masa ini kita belum dapat memperincikan lagi lokasi tersebut namun pasaran baharu ini dijangka di Timur Tengah dan Afrika Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Weststar Maxus bersama rakan strategik dan lebih 97 orang Anak-Anak Yatim Darul Aitam di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kumpulan Weststar Group, Tuan Syed Ammar Tan Sri Syed Azman dan Pengurus Jualan Weststar Maxus Kelantan, Dianahazlen Hamid.

Dalam pada itu, Weststar Maxus yang membekalkam kenderaan pelbagai guna (MPV) bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat pantai timur berikutan pembukaan cawangan pertama di Pantai Timur yang terletak di Jalan Long Yunus.

Vikram berkata, pembukaan Maxus Weststar Kelantan sebagai pusat jualan itu sekaligus memberi peluang kepada orang ramai menceburi bidang perniagaan kereta.

“Pembangunan jualan kereta di Kelantan dijangka memberi impak yang besar dan sasaran mampu dicapai memandangkan model -model kereta yang dipamerkan berjaya mendapat perhatian pelanggan.

“MPV warisan British, edaran Weststar Maxus dilihat memenuhi cita rasa terkini terutama daripada segi harga yang mampu milik,” katanya.

Katanya, sekarang cawangan Maxus Weststar sudah bertapak di di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan.

“Selepas ini kita akan melihat potensi di Terengganu, Pahang serta bercadang membuka cawangan di Sabah dan Sarawak,” katanya. - UTUSAN ONLINE