Zainol Fadzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, jika beliau menginginkan jawatan tersebut, sejak awal lagi beliau sudah memperolehinya.

“Kalau saya nak jadi exco, selepas menyokong penubuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan lagi saya sudah jadi exco.

“Tapi itu bukanlah sesuatu yang dijanjikan atau ditawarkan kepada saya dan saya pun tidak buat apa-apa permintaan pun pada masa itu.

“Cuma apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai Penasihat Menteri Besar yang saya terima ini adalah berdasarkan pengalaman saya dengan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Bubur Lambuk Perdana di sini hari ini.

Zainol mengulas khabar angin beliau akan menggantikan Abdul Aziz sebagai exco.

Zainol merupakan bekas wakil rakyat UMNO yang menyokong pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar sehingga PH berjaya menubuhkan kerajaan negeri.

Menurut Zainol, pemilihan exco mempunyai prosedurnya sendiri iaitu di peringkat kepimpinan tertinggi PH yang akan berbincang untuk menentukan siapa exco yang akan dilantik.

Katanya, di Perak sebelum ini angkat sumpah sebagai exco ialah setiap satu penggal tetapi sejak 2010, angkat sumpah dibuat secara tahunan untuk menilai prestasi exco.

“Kalau seseorang exco itu tidak disambung khidmatnya, mungkin ada sebab-sebab tertentu. Itu soal yang diputuskan oleh parti dan yang paling penting, pelantikan exco perlu mendapat perkenan daripada Sultan,” katanya. - UTUSAN ONLINE