Zaqhwan yang berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing with Showa berkata, pada perlumbaan di Suzuka, dia telah membuat sedikit kesilapan semasa permulaan dan juga sedikit perlahan pada dua pusingan awal menyebabkannya turun beberapa kedudukan.

“Saya kemudiannya cuba bertindak untuk berada di kumpulan kesepuluh teratas dan syukur usaha saya berjaya. Ia agak baik bagi saya kerana rentak perlumbaan juga berjaya diperbaiki tetapi masih tidak mencukupi untuk memperbaiki masa pusingan saya.

“Diharapkan catatan masa yang akan datang berbeza. Saya akan mengekalkan semangat saya di pusingan Australia dan cuba untuk menang di sana kelak,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pasukan Honda Asia-Dream Racing with Showa kini bertanding pada Pusingan Kedua Asia Road Racing Championship yang berlangsung di Litar The Bend Motorsport Park, Australia sehingga 28 April ini. - UTUSAN ONLINE