Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

3 kanak-kanak antara 5 maut dalam insiden tembakan di Kanada

OTTAWA, 25 OKT – Polis Kanada menemui lima mayat akibat luka tembakan, termasuk tiga kanak-kanak dan suspek penembak, di dua kediaman berbeza, dalam kes yang disifatkan sebagai ‘keganasan pasangan intim.’

Mangsa ditemui lewat Isnin di Sault Ste. Marie, Ontario, berhampiran tiga Tasik Besar yang bersempadan dengan Michigan, Amerika Syarikat (AS), kira-kira 700 kilometer (km) di utara Toronto, selepas polis menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk.

Seorang lelaki berusia 41 tahun ditemui mati akibat luka tembakan di kediaman pertama dan suspek telah melarikan diri dari kawasan itu sebelum pihak polis tiba,” menurut kenyataan polis.

Sepuluh minit kemudian, satu lagi panggilan kecemasan diterima dan polis menuju ke sebuah rumah hanya 3.7km dari lokasi pertama.

Di sana mereka menemui tiga kanak-kanak maut, berusia enam, tujuh dan 12 tahun, serta suspek didapati telah membunuh diri.

Gambar Freepik

Seorang lagi mangsa, berusia 45 tahun, ditemui cedera dengan kesan tembakan dan dibawa ke hospital.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Sault, Hugh Stevenson, berkata kes itu mempunyai kaitan dan dipercayai berpunca daripada keganasan pasangan intim.

“Ini adalah tragedi yang tidak terkatakan,” kata Datuk Bandar, Matthew Shoemaker, di X.

Menteri Keselamatan Awam Persekutuan, Dominic LeBlanc turut menyifatkan insiden sebagai tragedi yang mengerikan.

“Ia mengingatkan kita bahawa kita semua mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan berhubung jenayah seperti ini,” tambahnya. – AFP