Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Malaysia sokong sesi tergempar ke- 10 UNGA

PUTRAJAYA, 25 OKT – Malaysia menyokong seruan Kumpulan Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya diadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan bersidang esok di ibu pejabat badan dunia itu di New York.

Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timor Leste, dan Vietnam turut serta dengan Malaysia dalam menyokong seruan itu selepas draf resolusi mengenai keadaan genting di Wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dikenakan veto.

“Malaysia berazam untuk mengambil bahagian dalam Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai Keadaan di Timur Tengah, kelmarin dan Sesi Tergempar Khas ke-10 Perhimpunan Agung esok,” kata Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini.

Malaysia dengan tegas menggesa penghentian segera semua bentuk keganasan termasuk tindakan keganasan, provokasi, hasutan dan kemusnahan yang disebabkan oleh Tentera Pendudukan Israel dan ingin mengingatkan semua negara bahawa mereka tidak boleh menyuarakan hak asasi manusia selagi mengabaikan kekejaman terhadap orang Palestin.

Malaysia berpegang teguh kepada pendirian prinsipnya bahawa rakyat Palestin berhak menubuhkan negara merdeka dan berdaulat mereka, berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalammencari penyelesaian yang damai dan mesra dalam konflik ini, tambah kenyataan itu.

Presiden UNGA, Dennis Francies, baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan satu sesi khas tergempar esok sebagai respons kepada permintaan dari Jordan dan negara-negara lain berhubung dengan konflik berterusan antara Palestin dan Israel.

Sesi khas tergempar boleh dipanggil dalam tempoh 24 jam jika diminta oleh Majlis Keselamatan atau majoriti ahli PBB.

Hampir 8,000 orang terbunuh dalam konflik itu, termasuk kira-kira 6,546 orang Palestin dan 1,400 orang Israel, lapor Anadolu Agency (AA) hari ini. – Bernama

Gambar Freepik