Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kebakaran belukar landa timur Australia

SYDNEY, 25 OKT – Ratusan anggota bomba bergelut memadam kebakaran belukar di negeri timur Australia, Queensland hari ini, di mana suhu yang meningkat dan angin kering telah memburukkan keadaan yang paling berbahaya dalam beberapa tahun.

Salah satu kawasan yang paling teruk terjejas ialah Western Downs di negeri itu, kawasan pertanian dan penanaman buah-buahan yang penting kira-kira empat jam pemanduan ke barat ibu negeri Brisbane.

Kira-kira 350 orang menghabiskan malam kelmarin di pusat pemindahan yang dikendalikan oleh majlis, kata Pemangku Ketua Penguasa Bomba, Warren Buckley.

Satu kebakaran yang tidak terkawal telah membakar lebih daripada 11,000 hektar dan telah memusnahkan empat buah rumah dan sebuah bangsal setakat ini, tambah Buckley. Suhu di kawasan itu mencecah 42 darjah Celsius hari ini – jauh lebih tinggi daripada purata bulanan – dengan Buckley menggambarkan keadaan sebagai sangat tidak selesa bagi anggota bomba.

Pada September, pejabat cuaca negara mengesahkan pola cuaca El Nino sedang berlaku, membawa suhu tinggi yang mencetuskan musim kebakaran dan kemarau yang teruk. Australia sedang menghadapi musim kebakaran belukar yang paling teruk sejak 2019-2020, apabila satu siri kebakaran yang tidak terkawal melanda pantai timur – memusnahkan kawasan hutan, membunuh jutaan haiwan dan menyelubungi bandar dengan asap yang toksik.

Polis menemui mayat berhampiran bandar luar bandar Tara kelmarin, walaupun mereka belum mengesahkan sama ada kematian itu berkaitan dengan kebakaran.

Kebakaran utama berlaku kira-kira 15 kilometer dari bandar Tara tetapi pihak berkuasa sudah pun memberi amaran kepada penduduk di kawasan luar bandar yang berdekatan supaya meninggalkan kawasan itu. – AFP

Gambar Freepik