Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

GallopAir, BEBC, EDC meterai MoU

Oleh Salawati Haji Yahya – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Dalam mencapai matlamatnya untuk meningkatkan hubungan serantau dan menyumbang kepada Wawasan BIMP-EAGA 2025, GallopAir akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) dan EAGA Development Corporation (EDC).

MoU berkenaan akan dimeterai esok semasa pameran BETCON23 yang sedang berlangsung di Bridex, Jerudong bermula hari ini hingga 29 Oktober.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoU tersebut menggariskan skop kerjasama yang merangkumi sokongan pembangunan perhubungan udara dalam rantau BIMP-EAGA selain bekerjasama dalam inisiatif yang mengukuhkan ketersambungan udara, bekerjasama dengan organisasi sektor swasta yang berkaitan, dan mengambil bahagian dalam perancangan strategik perhubungan udara di rantau ini.

Mengulas mengenai penyertaan syarikat penerbangan berpangkalan di Brunei itu dalam pameran tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif GallopAir, Cham Chi dipetik berkata, matlamat mereka adalah untuk mewujudkan GallopAir sebagai syarikat penerbangan pilihan yang menghubungkan negara BIMP-EAGA, memupuk pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya, dan juga interaksi di antara rakyat.

“Kami menganggap diri kami bukan sahaja syarikat penerbangan tetapi jambatan yang mendekatkan bangsa dan rakyat,” jelasnya.

Beroperasi dalam wilayah BIMP-EAGA merupakan pilihan strategik kerana dengan kehadiran GallopAir dirantau ini telah didorong oleh kelebihan geografinya, potensi pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pelancongan pertukaran industri dan budaya, kemudahan perdagangan dan perdagangan, kerjasama serantau, serta sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Tarikh pelancaran awal syarikat itu dijangka pada suku ke-3 2024, dan keterangan mengenai laluan destinasi akan diumumkan dalam masa terdekat dengan hari pelancaran nanti.

Cham Chi bergambar ramai pada petak pameran GallopAir di Bridex, Jerudong. – Gambar serahan GallopAir