Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sanchez tingkat peluang Inter Milan

MILAN, 25 OKT — Pemain pemula yang mengejutkan, Alexis Sanchez membantu Inter Milan meraih kemenangan 2-1 ke atas Salzburg kelmarin untuk meningkatkan peluang Nerazzurri mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Sanchez menjaringkan gol pada minit ke-19, iaitu gol pertama penyerang veteran itu sejak kembali ke kelab tersebut pada musim panas. Pemain remaja Israel, Oscar Gloukh menyamakan kedudukan seketika untuk Salzburg tetapi Hakan Çalhanoglu menjaringkan gol penentu menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.

“Dia (Sanchez) mahukan Inter dan kami mahukan dia. Dia adalah pemain penting,” kata jurulatih Inter, Simone Inzaghi. “Kita semua mengenali Sanchez dengan baik.

“Dia seorang pemain yang sangat berpengalaman dalam jenis perlawanan ini, yang sentiasa boleh menjaringkan gol dalam apa jua situasi. Prestasi dia semakin meningkat dari hari ke hari. Saya gembira dia menjaringkan gol kerana dia berhak mendapatkannya disebabkan kerja kerasnya setiap hari di padang latihan.”

Kemenangan itu meletakkan Inter berada di puncak Kumpulan D buat sementara waktu, sebelum jatuh ke tangga kedua selepas Real Sociedad menang 1-0 ke atas Benfica.

Salzburg ketinggalan empat mata di belakang Inter.

“Kami telah menunjukkan kepada Inter apa yang boleh kami lakukan, kami perlu mempunyai keyakinan dalam diri kami sendiri, mengetahui bahawa ia akan menjadi perlawanan yang sengit hingga ke penghujung,” kata jurulatih Salzburg, Gerhard Struber.

Jurulatih Simone Inzaghi secara mengejut mengetepikan Marcus Thuram – yang telah menjadi penjaring utama musim ini – ke bangku simpanan untuk memberi laluan kepada Sanchez.

Ia adalah peluang yang jarang berlaku bagi penyerang Chile itu, yang hanya memulakan satu daripada 10 perlawanan terdahulu Inter musim ini, dan dia membuktikan bahawa ia adalah satu keputusan yang tepat apabila dia memberikan Nerazzurri pendahuluan. – AP

Aksi Sanchez menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa perlawanan menentang Salzburg di stadium San Siro di Milan, Itali pada 24 Oktober. – AP