Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bilangan pelarian di seluruh dunia cecah 114 juta

GENEVA, 25 OKT – Bilangan orang di seluruh dunia yang terpaksa berpindah dari rumah mereka dianggarkan melebihi 114 juta, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Jumlah orang yang dipindahkan akibat peperangan, penganiayaan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia berkemungkinan melebihi 114 juta pada akhir September,” kata UNHCR, agensi pelarian PBB, dalam satu kenyataan.

Pemacu utama pada separuh pertama 2023 ialah konflik di Ukraine, Sudan, Myanmar dan Republik Demokratik Congo, krisis kemanusiaan yang berpanjangan di Afghanistan dan gabungan kemarau, banjir dan ketidakamanan di Somalia, kata UNHCR.

“Fokus dunia sekarang adalah pada bencana kemanusiaan di Gaza. Tetapi di peringkat global, terlalu banyak konflik yang semakin berkembang atau semakin memuncak, mengorbankan nyawa orang yang tidak bersalah,” kata ketua pelarian PBB, Filippo Grandi.

“Ketidakupayaan masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan konflik atau mencegah konflik baharu mendorong perpindahan dan kesengsaraan. Kita mesti melihat lebih mendalam, bekerjasama untuk menamatkan konflik dan membenarkan pelarian dan orang yang dipindahkan kembali ke rumah atau memulakan semula kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam laporan Mid-Year Trends yang menganalisis pemindahan paksa dalam tempoh enam bulan pertama 2023, UNHCR mengatakan bahawa pada akhir Jun, 110 juta orang telah dipindahkan secara paksa di seluruh dunia yang (meningkat) 1.6 juta daripada penghujung 2022.

Jurucakap UNHCR mengesahkan kepada AFP angka baharu itu adalah rekod sejak agensi itu mula mengumpul data pada 1975.

Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober, jumlah orang yang dipindahkan secara dalaman di Gaza dianggarkan kira-kira 1.4 juta, menurut agensi kemanusiaan PBB OCHA.

Lebih separuh daripada kesemua orang yang terpaksa melarikan diri tidak pernah menyeberangi sempadan antarabangsa, kata UNHCR. – AFP

Gambar menunjukkan sebuah keluarga yang berlindung di Hospital Al-Shifa di Kota Gaza pada 25 Oktober 2023. – AFP