Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Real Madrid kekalkan rekod sempurna

BRAGA, 25 OKT — Diketuai oleh Jude Bellingham sekali lagi, Real Madrid menewaskan Braga 2-1 kelmarin untuk mengekalkan rekod sempurna dalam Liga Juara-Juara dan semakin hampir untuk memastikan tempat di peringkat kalah mati.

Bellingham menjaringkan gol ke-11 dalam 12 perlawanan sejak menyertai Madrid untuk membantu juara Eropah 14 kali itu meraih kemenangan di tempat lawan dan mengukuhkan kedudukannya dalam Kumpulan C. Madrid mempunyai sembilan mata daripada tiga perlawanan, tiga mata lebih banyak daripada Napoli, yang menang 1-0 menentang Union Berlin yang belum pernah menang. Braga kekal di tempat ketiga dengan tiga mata.

Satu lagi kemenangan menentang Braga di tempat sendiri pada pusingan seterusnya pada November akan menjamin Madrid mendapat tempat di peringkat kalah mati untuk kali ke-28 berturut-turut.

Braga tidak pernah mara melepasi peringkat kumpulan. Pasukan Portugal itu membuat penampilan ketiga dalam Liga Juara-Juara dan pertama dalam 11 musim.

Rodrygo, yang tidak menjaringkan gol sejak Ogos, meletakkan Madrid di hadapan pada minit ke-16 dengan rembatan dari dalam kawasan selepas larian Vinicius Junior di sayap kiri, dan Bellingham menambah pendahuluan pada minit ke-61 dengan rembatan rendah ke sudut jauh selepas dibantu oleh Vinicius.

Pemain Sepanyol, Alvaro Djalo merapatkan jurang gol pada minit ke-63 dengan rembatan ke sudut atas.

“Adalah perkara biasa untuk mengalami sedikit kesukaran dalam perlawanan di tempat lawan,” kata Vinicius. “Tetapi kami bermain dengan baik dan menjaringkan gol dengan peluang yang kami cipta. Dan boleh menjaringkan lebih banyak lagi. Kami perlu mengekalkan prestasi ini selepas memenangi tiga perlawanan pertama.” – AP

Reaksi Bellingham meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan menentang SC Braga di stadium Perbandaran di Braga, Portugal pada 24 Oktober. – AP