Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Lima ditahan terlibat pergaduhan, sebabkan kematian warga emas

SIBU, 25 OKT – Lima lelaki ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan berkumpulan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal warga emas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata pergaduhan bersenjata yang berlaku di Lorong Wong King Hou itu bermula dengan aksi kejar-mengejar sehingga kenderaan dinaiki satu daripada kumpulan terbabit melanggar sebuah motosikal di Jalan Alan.

Beliau berkata polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada 6:45 petang.

“Sampai di tempat kejadian, polis mendapati dua kumpulan lelaki sedang bergaduh menggunakan dua bilah Kwantao iaitu sejenis senjata tradisional Cina berbentuk seperti tombak.

“Polis menahan lima lelaki yang berusia lingkungan 17 hingga 30 tahun, selain merampas dua kenderaan serta dua bilah senjata yang digunakan dan sebatang rotan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada masalah hutang manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin, benzodiazepines dan morfin. – Bernama

Gambar Freepik