Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Erdogan batalkan lawatan ke Israel

ISTANBUL, 25 OKT – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata hari ini bahawa beliau membatalkan rancangan untuk melawat Israel kerana perang ‘tidak berperikemanusiaan’ terhadap pejuang Hamas di Gaza.

“Kami mempunyai projek untuk pergi ke Israel, tetapi ia dibatalkan, kami tidak akan pergi,” kata Erdogan kepada penggubal undang-undang parti pemerintah di parlimen, sambil menambah bahawa beliau melihat Hamas sebagai ‘pembebas’ yang berjuang untuk tanah mereka sendiri.

Hubungan Ankara dengan Israel dingin berikutan serbuan Israel ke atas kapal Turkiye yang membawa bantuan ke Gaza, membunuh 10 orang awam pada 2010.

Erdogan bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan lalu. Pertemuan itu menandakan peningkatan hubungan antara kedua-dua pihak yang bermula dengan keputusan pada tahun lalu untuk melantik semula duta mereka.

Pemimpin Turkiye tidak menyebut tarikh sebenar bila beliau bercadang untuk melawat Israel.

Gambar AFP

Turkiye telah mempertimbangkan untuk menyertai projek paip gas asli yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat di Israel.

“Sudah tentu, kami mempunyai niat yang baik, tetapi (Netanyahu) mendera mereka,” kata Erdogan.

“Jika beliau meneruskan niat yang baik, hubungan kami mungkin berbeza, tetapi sekarang malangnya, itu tidak akan berlaku.”

Erdogan telah menggunakan gaya bahasa yang lebih berhemah pada hari pertama peperangan, mengutuk semua serangan terhadap penduduk awam dan mendesak Israel supaya mengawal dalam tindak balas mereka.

Tetapi beliau menjadi lebih lantang selepas serangan maut ke atas hospital Ahli Arab di Gaza minggu lalu, yang membawa kepada protes besar dan kemarahan di seluruh dunia Islam. – AFP