Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Afrika Selatan: Lebih 500 pekerja lombong emas dijadikan tebusan

JOHANNESBURG, 25 OKT – Seramai 543 pekerja sebuah lombong emas di timur Johannesburg di Afrika Selatan, dijadikan tebusan sejak Ahad lepas, lapor Xinhua kelmarin.

Setiausaha sementara bagi National Union of Mineworkers (NUM) Afrika Selatan, Mlulameli Mweli berkata pekerja syarikat Gold One Mine masih berada di bawah tanah dan dihalang daripada keluar oleh beberapa kumpulan bersenjata.

Menurut jurucakap NUM, Livhuwani Mammburu, sebahagian daripada tebusan menghidap penyakit kencing manis dan mereka tidak ada makanan.

“Ketika saya bercakap dengan awda, saya berada di Gold One Mine, ahli kami ditahan. Sembilan anggota NUM cedera selepas diserang samseng yang menghalang mereka daripada keluar,” katanya.

Mammburu berkata NUM telah meminta agensi penguat kuasa undang-undang negara itu untuk campur tangan dan menahan samseng-samseng berkenaan.

Katanya, pekerja lombong itu ditahan pihak Association of Mineworkers and Construction Union, satu lagi kesatuan yang mahu mendapat pengiktirafan syarikat perlombongan itu.

Gold One Mine dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang berhubung dengan Jabatan Sumber Mineral dan Tenaga serta polis untuk menyelesaikan perkara itu. – Bernama

Pekerja lombong Persatuan Pekerja Galian dan Kesatuan Pembinaan (AMCU) berkumpul di syarikat lombong operasi Gold One Modder East di Springs kelmarin. – AFP