Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PBSM hos Mesyuarat SEAFAN pertama

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Rantau Asia Tenggara tidak asing lagi terus berdepan dengan pelbagai cabaran, bencana alam hingga krisis kemanusiaan dan kecemasan kesihatan awam.

Oleh itu, dalam menangani kesukaran itu, perkhidmatan pertolongan kecemasan (First Aid) yang disediakan oleh persatuan-persatuan kebangsaan memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa, meringankan kesengsaraan serta membina masyarakat yang berdaya tahan.

Mengenali akan pentingnya untuk meningkatkan kerjasama dan koordinasi, Mesyuarat Rangkaian Pertolongan Kecemasan dihasratkan untuk menjadi sebuah platform bagi mengumpulkan kepakaran dan pengalaman kolektif di mana ia telah dipersetujui dalam Mesyuarat Pemimpin Asia Tenggara ke-19 yang telah dihoskan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam pada 2022.

Keputusan itu juga termasuk komitmen daripada semua pemimpin bagi melabur dalam pembangunan sumber dan kapasiti persatuan kebangsaan Asia Tenggara dalam pertolongan kecemasan melalui pembelajaran dan sokongan rakan sebaya serta meningkatkan kapasiti persatuan kebangsaan dalam pertolongan kecemasan komuniti dan terus melabur dalam pembangunan pertolongan kecemasan komersial termasuk menggunakan platform digital.

Sehubungan itu, PBSM Brunei Darussalam sebagai pengerusi pertama bagi Rangkaian Pertolongan Kecemasan Asia Tenggara (SEAFAN) telah menghoskan mesyuarat pertama SEAFAN yang berlangsung di Hotel Wafa, Beribi bermula kelmarin hingga 26 Oktober.

Mesyuarat SEAFAN pertama yang diadakan di Hotel Wafa, Beribi hingga hari ini. – Gambar serahan PBSM Brunei Darussalam

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBSM, Sheikh Kadir Abdullah.

Matlamat utama penubuhan SEAFAN adalah untuk menubuhkan sebuah platform kerjasama bagi pengurus program dan pengamal pertolongan kecemasan daripada serata Asia Tenggara untuk meneroka pendekatan inovatif, berkongsi amalan terbaik dan mengukuhkan inisiatif pertolongan kecemasan bagi membina komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan.

Mesyuarat pertama berkenaan mengumpulkan wakil-wakil Bulan Sabit Merah dan Palang Merah dari Asia Tenggara, IFRC dan ICRC untuk membincangkan sokongan secara kolektif bagi mencapai Visi Pertolongan Kecemasan 2030.

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan dan menyokong penubuhan SEAFAN dan menentukan hasil tertentu bagi membentuk masa depan rangkaian pertolongan kecemasan di Asia Tenggara.

Acara tersebut juga dihasratkan untuk membentuk strategi dan pelan tindakan Asia Tenggara yang akan memacu perkembangan dalam rangkaian pertolongan kecemasan.